Thursday, November 13, 2008

Pelangi Petang..pt2

Roha, gadis kecil molek bermata galak. Dia seorang yang ceria, sentiasa tersenyum dan peramah. Dan tentunya, dia memiliki kecantikan seorang gadis Melayu yang penuh keayuan. Aku mula meminati Roha sejak kecil lagi. Maklumlah, dia satu-satunya sepupu perempuan belah mak aku. Tapi aku tidak pernah berani untuk berterus terang dengannya yang aku sukakan dia. Kami jarang sekali bertemu. Mungkin faktor jarak yang menjadi penghalang. Rumah keluarganya begitu jauh di pedalaman, sementara aku di bandar. Kalau bersua pun di hari raya ataupun sekiranya ada keramaian. Perjalanan ke rumah Roha selalunya mengambil masa berjam-jam menggunakan bas awam. Lepas tu kena berjalan kaki sejauh 10 kilometer. Memang memenatkan. Tapi kepenatan itu pasti akan terlerai di saat aku menatap wajah ceria Roha setiap kali menyambut kedatangan kami.

Aku masih ingat saat aku pertama kali bertemu semula dengan Roha selepas beberapa waktu. Mungkin disebabkan oleh masing-masing sibuk dengan sekolah,pelajaran dan macam-macam lagi, kami jarang sekali bertemu. Hari raya pun selalunya Roha tidak akan datang ke rumahku. Selalunya dia akan beraya di rumah kak longnya. Itu yang menjadikan aku teruja apabila di satu hari yang indah masa cuti sekolah emak mengajak aku pergi ke rumah Roha. Aku baru saja habis SPM masa tu.

“Bila kita nak bertolak ni mak?” Aku bertanya mak aku.

“Hai Am, kau ni macam tak sabar-sabar pulak. Pukul 10 nanti,
Kita jalanlah. Nak tunggu ayah kau balik dulu.”

Mak aku menjelaskan. Dia menjadi rimas lantaran ketidaksabaranku untuk bertolak ke rumah Roha.

Akhirnya, setelah berjam di dalam bas dan berjalan kaki beberapa kilometer, kami akhirnya sampai ke rumah Roha. Suasana petang itu begitu nyaman sekali. Dari jauh lagi aku dah melihat kelibat Roha sedang menyapu di beranda rumah.

Aku selalunya menjadi kelu setiap kali bertemu Roha. Memang langsung tiada perbualan antara kami. Aku lebih banyak menghabiskan masa memancing ataupun mandi sungai dengan abang Roha setiap kali kami ke rumahnya.

“Ha Am, kenapa diam je ni? Tadi sebelum sampai bukan main
semangat lagi nak berjumpa dengan Roha? Ini dah jumpa, diam
pulak?” Mak aku tiba-tiba bersuara.

Alamak, malunya aku. Kenapa pulak mak aku ni? Macam nak kenakan aku pulak? Aku yang sedang duduk di kali lima rumah terasa ingin terjun ke sungai di belakang rumah Roha ni. Mana aku nak letak muka aku? Roha pulak aku lihat sedang tersenyum sipu mendengarkan sindiran mak aku tadi.
“Emm..mmmm...Am sakit perut la mak”.

Itu saja alasan yang mampu aku beri untuk mengelak daripada sindiran mak aku. Tapi aku memang sakit perut pun. Banyak sangat buah koko yang aku telan tadi. Di keliling rumah Roha ni memang banyak pokok koko yang sedang ranum sekarang. Dan aku sememangnya suka buah koko, apatah lagi sudah lebih 6 bulan aku tidak menjamahnya.

“Sakit perut? Ha, nanti mak suruh Roha buatkan Am air rebusan
daun jambu batu”.

Mak aku tiba-tiba memberi cadangan. Aku yang masih lagi di kaki lima akur dan terus masuk ke dapur. Roha sedang menumbuk beberapa helai daun jambu batu di dalam lesung batu ketika aku melangkah masuk ke ruangan dapur. Roha yang memakai baju t putih dan berkain batik begitu ayu sekali. Rambutnya yang disanggul kecil menambah keanggunannya.

“Sakit sangat ke perut Am tu?” Suara Roha memecah kesunyian petang tu.

“Tidaklah sakit sangat. Roha sihat?” Aku memberanikan diri menyapa Roha.

“Sihat, cuma bosan sikitla Am,” Roha menjelaskan sambil meramas daun jambu yang telah ditumbuk tadi ke dalam gelas kaca.

“Apa yang buat Roha bosan ni?” Aku cuba untuk mengungkil kebosanan yang Roha maksudkan.

Roha tidak menjawab. Aku perhatikan dia begitu teliti menuang jus daun jambu yang telah ditumbuk tadi ke dalam gelas kaca. Inilah kali pertama aku dapat menatap wajah manis Roha secara dekat. Senyuman tak pernah lekang dari wajahnya. Alis keningnya yang hitam dan tahi lalat halus di bibir membuat wajah Roha seakan tidak akan pernah jemu untuk dipandang. Rambut ikal yang sentiasa terikat kemas menjadikan Roha jauh berbeza daripada gadis-gadis lain di kampungya yang ramai kelihatan seperti tidak begitu mempedulikan penampilan diri mereka.

“Roha nak ke bandarlah Am. Nak kerja. Roha nak bantu mak
sikit. Adik-adik yang dah bersekolah perlu banyak belanja.”

Akhirnya Roha memecah kebuntuan petang tu sambil menghulurkan jus tadi kepadaku.

“Habis, macamana dengan study Roha? Takkan nak berhenti
begitu saja?

Aku seakan tidak percaya keputusan yang Roha buat. Roha, yang setahun muda dari aku sekarang sedang belajar di tingkatan empat di sebuah sekolah yang terletak 50 km dari perkampungan ni.

“Kena berhentilah Am, lagipun Roha dah lama tak ke sekolah.
Minat pun dah pudar.”

Roha menjelaskan lagi, sambil ku perhatikan matanya yang agak berkaca. Aku cuma terkelu dan terus menelan jus jambu batu kononnya untuk mengubat ‘sakit perut’ku.


bersambung...macam biasa

3 Comments:

  1. tqa said...
    ayt:
    kdg2 sempoi, kdg2 skema..
    hehe..
    :)
    JRY The Boonto said...
    BERSAMBUNG...MACAM BIASA..

    macam pengalaman sir yang sebenar jak ni..haha
    Ulikmvt said...
    macam benar jak cerita mu ni geng.. nanti aku tanya darma.. he..he.. Awe'e>

Post a Comment